PETALING JAYA: Lebuhraya Bertingkat Damasara-Shah Alam (DASH) sepanjang 20.1 kilometer (km) dari Puncak Perdana ke Penchala sudah siap sepenuhnya pada 30 September lalu dan akan dibuka dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, lebuh raya itu membabitkan tiga plaza tol iaitu Denai Alam, RRIM (Kwasa Damansara) dan Kota Damansara serta 13 persimpangan.

Katanya, lebuh raya itu juga dijangka mengurangkan masa perjalanan dari Puncak Perdana ke Penchala sehingga 30 minit daripada 90 minit, penjimatan 60 minit berbanding laluan sedia ada.

"Kita menyasarkan jumlah trafik untuk permulaan sebanyak 50,000 kenderaan sehari untuk menggunakan lebuh raya ini.

"Ini juga mampu mengurangkan kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari sebanyak 39 peratus, Jalan Sungai Buloh (33 peratus) dan Persiaran Surian (43 peratus)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas taklimat kepada media mengenai perkembangan projek Lebuhraya DASH, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohammad Azlan menambah, lebuh raya berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini yang memudahkan pengguna.

"Antara lain DASH juga mempunyai penghadang bunyi kepungan penuh yang pertama dalam industri lebuh raya di dalam negara sepanjang 260 meter (m) di samping dilengkapi 37 kamera litar tertutup (CCTV).

"Ia juga dilengkapi 18 telefon kecemasan, 30 sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS), 10 papan tanda mesej pelbagai (VMS) di sepanjang jajaran, dilengkapi 100 peratus berlampu serta 2,441 lampu jalan LED," katanya.

Menurut beliau, DASH turut mempunyai tiga lorong dua hala dan setiap lorong berukuran 3.5m dengan lorong kecemasan selebar 3m.

"Ia akan mempunyai 13 persimpangan, iaitu Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang 2, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala," ujarnya.

Sementara itu, DASH juga mempunyai rangkaian laluan dikenali sebagai Spaghetti Link yang terbentuk apabila tujuh tanjalan dibina secara bertingkat melibatkan lebuh raya sedia, iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Penchala Link, Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dengan Persimpangan Penchala dan DASH.

Ia juga hadir dengan reka bentuk kanopi yang baharu sebagai persediaan untuk melaksanakan sistem tol Multi Lane Free Flow (MLFF) pada masa akan datang.

Pembinaan DASH yang bermula Ogos 2016 membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM4.2 bilion.